Monday, January 11, 2010

APA ITU KREATIVITI???

Menurut kamus Webster's (1976) pemikiran kreatif ialah, " the ability to bring something new existence ". Definisi ini memperlihatkan kreativiti itu adalah kebolehan mewujudkan sesuatu yang baru sama sekali.Tetapi definisi ini terlalu ekstrem bagi menggambarkan kemampuan dan kebolehan manusia dalam berkreativiti. Menurut John (2002), " Only God could create, and whatever He created was original. man could only rearrange what God had created ".
" Kreativiti itu memang berlaku tanpa disedari manusia itu sendiri ", pandangan ini telah diberikan oleh de Bono ( 1970) dalam salah satu tulisan beliau. Sehingga kini terdapat ribuan maksud berkenaan pemikiran kreatif dan kesemuanya dapat disimpulkan sebagai berikut (Hassan, 1989) dan (Nik Azis,1994) : " terminologi kreatif berasal daripada perkataan Latin ' creare' yang bermaksud ' membuat '( to make ). Manakala dalam bahasa Greek pula, ' krainein ' yang membawa makna ' memenuhi '. dalam bahasa Inggeris ' create ' atau ' cipta ' didalam bahasa Melayu ".

Konsep kreativiti

konsep kreatif dan kreativiti amat luas dan tidak rigid
berdasarkan ruang, tempat dan masa. Malah, konsep kreativiti boleh
dilihat dalam pelbagai sudut berdasarkan latar belakang seseorang seperti ahli agama, peguam, jurutera, doktor, pemandu bas, ahli akademik, ahli politik dan sebagainya. Malah menurut Leong (2000), sesetengah sarjana yang liberal mentafsirkan; “People who copy concepts and ideas,” sebagai memenuhi ciri-ciri kreatif. Ringkasnya, istilah kreatif dan kreativiti digunakan bagi menggambarkan produk sosial yang dihasilkan. Berdasarkan konsep kreativiti secara umum, dapat disimpulkan konsep pemikiran kreatif berkisar kepada entiti berikut:
1. Melakukan sesuatu dengan cara yang unik.
2. Seseorang itu dapat keluar daripada pola yang sama atau the pattern
of sameness.
3. Berfikir di luar kotak atau thinking outside of the box.
4. Melihat sesuatu daripada perspektif baru.
5. Menggabungkan idea yang sedia ada kepada pembentukan idea baru.
6. Membuka minda dengan idea-idea baru.
7. Mencabar andaian.
8. Mencipta sesuatu yang baru.
9. Menghubungkan idea yang tidak berkaitan.
10. Menerbitkan idea besar kepada idea-idea kecil.
11. Berfikir secara fleksibel.
12. Penghasilan idea, penyelesaian, konsep dan produk yang asli (novel).
13. Membuat sintesis, imaginasi dan visualisasi.
Pemikiran kreatif adalah pemikiran yang menerbitkan idea iaitu
berlawanan dengan pemikiran kritis yang membuat penilaian ke atas sesuatu idea. Idea yang diterbitkan bersifat baru dan kadang-kadang berlawanan dengan logik. Namun, pemikiran kreatif mestilah berasaskan manipulasi segala pengalaman dan pengetahuan yang sedia ada. Menerusi pengalaman dan pengetahuan yang dimilikinya, seseorang itu akan berusaha mencari pelbagai input idea dalam pelbagai perspektif dan dimensi bagi mewujudkan idea atau hasil yang baru yang lebih baik daripada sebelumnya dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Keadaan ini dijelaskan oleh Rikards (1990) sebagai, “Creativity involves escaping from stuckness and opening up possibilities.”