Saturday, March 27, 2010

Pandangan Tokoh-Tokoh Seni Visual mengenai Kreativiti;

1. E. Paul Torrance (Tersohor dalam bidang/kajian kreativiti)Beliau mencadangkan Ujian IQ bukanlah satu-satunya cara mengukur daya intelektual seseorang. Beliau memperkenalkan instrumen untuk menguji tahap kreativiti sesseorang menggunakan “Torrence Test of Creative Thinking”.

2. June King McFee, mentakrifkan kreativiti sebagai keupayaan seseorang mencipta sesuatu yang baru/mampu mengolah idea baru/lain yang lebih bermakna. Seni tidak terhad kepada hasil karya seni sahaja tetapi juga melibatkan pengalaman estetika.Seni ialah satu bentuk komunikasi yang dipengaruhi oleh konteks budaya.

KREATIVITI DALAM PENDIDIKAN SENI VISUAL

Pendidikan berkait rapat dengan kreativiti dan pemikiran kreatif. Pendidikan Seni dalam Kurukulum Bersepadu Sekolah Menengah, bermaksud seni tampak yang bertujuan melahirkan warganegara berbudaya, khususnya individu yang kreatif, berpengetahuan dalam bidang seni, mempunyai kemahiran mencipta dan peka terhadap ciri estetik.

Kurikulum Pendidikan Seni melibatkan perasaan estetik, daya kreatif pelajar melalui penjanaan daya intuisi, persepsi dan konsepsi, juga boleh mewujudkan rasa kepuasan dan kesedaran terhadap bakat serta kemampuan diri pelajar. Pelajar yang mengikuti program Pendidikan Seni akan menjadi lebih peka dan perasa, bersikap sederhana dan mampu mengamalkan pertimbangan kesenian dan kesempurnaan dalam mengendalikan kehidupan. Pendidikan Seni juga mampu meningkatkan kualiti berfikir . Pengetahuan dan kemahiran Pendidikan Seni melalui penjanaan idea, penerokaan unsur, inkuiri, integrasi maklumat serta idea, pengolahan simbol nyata atau abstrak dan melihat sesuatu dari pelbagai perspektif, menjanjikan satu peningkatan kualiti berfikir serta bertindak secara rasional dan fleksibel.

Pendidikan Seni merupakan satu disiplin yang merentas kurikulum dan boleh dikatakan sebagai asas kepada mata pelajaran lain. Pelajar yang didedahkan dengan Pendidikan Seni berasa lebih senang dan yakin apabila berdepan dengan tugasan dalam mata pelajaran lain terutamanya yang melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Kefahaman menerusi visual tentunya lebih mudah daripada penghafalan fakta menerusi catatan berjela. Peta minda yang digrafikkan secara mudah lebih berkesan untuk menyatakan sesuatu konsep atau penerangan yang sukar. Prinsip dalam Pendidikan Seni berupaya memenuhi tuntutan dalam masalah ini

KREATIVITI DALAM PENDIDIKAN

Kreativiti bukanlah perkara baru pun di dalam sukatan. Pada sukatan yang lama unsur kreativiti ini sudah dimasukkan. Unsur kreativiti ini muncul di dalam pelbagai bentuk seperti aktiviti nyanyian, memperkembanglebarkan dialog, menulis khat dan segala makneka aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan. Sekiranya hendak dilakukanlah. Sekiranya kita hanya berkreativiti dengan majalah Avon, berkreativiti dengan ibu kutu, berkretiviti dengan berpotpetpotpet, berkreativiti dengan tudung bawal dan tudung indon, berkretiviti dengan Hai-O atau upline dan downline, memang tidak sempatlah kita hendak berkreativiti di dalam kelas pun.
Unsur kreativiti ini telah disebutkan oleh William Jordan serta rakan-rakannya. Unsur kreativiti ini dugunakan untuk menyelesaikan masalah. Beliau telah mencipta beberapa aktiviti kreatif berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
1. Kreativiti adalah aktiviti yang penting di dalam kehidupan seharian kita.
2. Kreativiti bukanlah sesuatu yang kabur, tersembunyi dan tidak boleh dinyatakan dengan spesifik. Kreativiti boleh dijelaskan, ditentukan sifat-sfatnya, boleh diajar secara langsung untuk menambah kuasa kreativiti murid.
3. Kreativiti di dalam apa bidang sekalipun termasuklah di dalam bidang sains, matematik, bahasa, ekonomi, perubatan dan bidang-bidang lain mempunyai persamaam iaitu hasilnya mempunyai sifat kreatif apabila dijelmakan.
4. Kreativiti boleh dikerjakan secara individu, kelompok dan berkumpulan.

Kretiviti boleh diajar kepada murid dengan syarat-syarat berikut:
1. Kreativiti boleh dibangunkan secara individu dan berkumpulan. Tugas guru adalah membantu murid sedar akan kepentingan kreativiti dan membekalkan bahan-bahan serta menentukan bidang-bidang kreativiti dengan jelas.
2. Unsur emosi dan perasaan lebih utama daripada unsur kognitif di dalam kretiviti.
3. Perkara yang tidak logik lebih penting daripada perkara yang logik di dalam proses kreativiti.
4. Unsur perasaan yang tidak logik hendaklah diberi peluang untuk dijelaskan supaya menambah keberhasilan di dalam penyelesaian masalah.

William Jordan menambah bahawa unsur kreativiti ini diserapkan kepada murid melalui kaedah majas atau personafikasi supaya wujud perkaitan di antara dua perkara. Misalnya meminta murid membandingkan kerusi dengan air batu atau kasut atau sekirnya kerusi iatu dapat bercakap apa yang akan dia adukan sekiranya murid duduk di atasnya dalam tempoh masa yang lama.

Aktiviti-aktiviti majas ini boleh dilakukan dengan pelbagai bentuk:
1. Perbandingan kendiri: Membandingkan diri mereka dengan tumbuh-tumbuhan, benda hidup dan benda bukan hidup, haiwan tertentu atau individu tertentu. Mislanya dengan meminta mereka menerangkan kesan yang akan berlaku sekiranya mereka merupkan huruf-huruf Hijaiyyah. Atau sekiranya kamu nombor Wahid, apa yang kamu akan lakukan?
2. Perbandingan langsung: Membandingkan dua benda yang padz zahirnya berbeza. Misalnya membandingkan pisau dengan pen. Atau membandingkan air dengan rumah.
3. Perbandingan Kontras: Membandingkan dua benda yang nampak berlawanan seperti membandingkan musuh dengan kawan, air dengan api, madu pahit dan siang malam.

Di antara strgategi yang boleh digunakan untuk mengajar kreativiti adalah dengan menjadikan sesuatu yang biasa itu luar biasa. Misalnya apa yang berlaku sekiranya kamu diminta datang ke sekolah pada waktu malam? Strategi yang kedua ialah menjadikan yang pelik itu biasa seperti meminta murid mencari persamaan di antara kapal terbang dan nasi.

Setiap strategi ini mengandungi langkah-langkah tertentu.
1. Langkah pertama: memberikan maklumat asas.
2. Langkah kedua: menggunakan perbandingan langsung.
3. Langkah ketiga: menggunakan perbandingan majas.
4. langkah keempat: membuat kesimpulan.

Guru tidak berperanan sebagai pengkritik apatah lagi menghina pendapat murid. Setiap pendapat diterima dengan tangan dan hati yang terbuka. Murid diberi kebebasan mutlak menentukan hasil. Di dalam pembinaan idea kreativiti ini hubungan murid dan guru merupakan hubungan di alam permainan yang diselaputi oleh semangat cinta dan kasih sayang.

Teknik ini boleh digunakan oleh guru untuk mengajar penulisan, penyelesaian masalah, mencari konsep baru, meletakkan konsep nahu baru menurut kefahaman murid, murid menulis semula konsep saraf, murid menyusun semula tajuk-tajuk nahu dan saraf mengikut kefahamannya, mencipta semula konsep hubungan manusia dengan alam serta pencipta menurut idea mereka.

Sebagai kesimpulannya, murid harus diberi kebebasan untuk menentukan apa yang ingin dipelajari. Pengajaran haruslah menjadi pengalaman yang menyeronokkan. Kesilapan dan kealpaan murid tidak harus dijadikan sebab untuk mendenda kerana denda mematikan langsung minat murid untuk belajar. Murid yang melakukan kesalahan tidak harus didenda bahkan dibimbing. Mendenda murid menyalin buku teks kerana bising atau tidak mahu murid membuat bising adalah kaedah pengajaran yang paling buruk dan tidak membina kreativiti murid. Begitu juga mendenda murid menyalin semula kesalahan matematik yang dilakukannnya sebanyak seratus kali sehingga habis buku latihannya. Kreativiti tunjangnya adalah emosi, perasaan dan kasih sayang. Tanpa emosi, cinta kasih dan sayang kreativiti itu hanyalah garis-garis hitam di dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Menengah yang tidak dapat direalisasikan pun.

Thursday, March 25, 2010

Pendidikan Seni Di Malaysia Antara Harapan Dan Realiti..

artikel dari:
Prof. Madya Hj. Iberahim
Dekan
Fakulti Sains Sosial dan Kesenian
Universiti Pendidikan Sultan Idris


Pertukaran nama daripada Seni Lukis dan Pertukangan Tangan kepada Pendidikan Seni pada awal tahun 1980an apabila KBSR diperkenalkan dan seterusnya akan bertukar semula namanya kepada Pendidikan Seni Visual pada 2002 tentulah berlatar belakangkan rasional yang amat signifikan. Ianya memberi kesan yang jelas kepada matlamat dan objektif keseluruhan mata pelajaran ini. Kandungan mata pelajaran pun akan berubah atau bertambah. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran juga akan berubah mengikut keperluan seterusnya akan mempengaruhi strategi dan kaedah pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah juga. Yang tidak kurang pentingnya ialah falsafah, kepercayaan dan amalan guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini perlu selari dengan falsafah dan matlamat mata pelajaran ini.

Pada hari ini dan beberapa tahun kebelakangan berbagai-bagai pihak yang bergiat dalam pendidikan seni visual sama ada secara individu maupun oleh institusi, kerajaan dan badan bukan kerajaan berusaha dengan berbagai-bagai pendekatan dan kaedah untuk meletakkan mata pelajaran pendidikan seni (visual) ini ke atas landasan yang benar agar martabatnya selari dengan mata pelajaran sekolah yang lain. Dalam usaha ke arah itu beberapa isu yang bersangkutan dengan keberkesanan pedagogi mata pelajaran ini perlu dijelaskan.

Pendidikan Seni Visual- Seni Halus – Seni Kraf : Kecelaruan Konsep

“Art Education” kini kita panggil Pendidikan Seni (Visual) sebagai satu mata pelajaran. Kita perlu menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan mata pelajaran ini. Kerana sehingga kini dari pengamatan dan kajian saya masih terdapat berbagai-bagai tanggapan dan tafsiran tentang pendidikan seni (visual) ini. Kerana apabila disebut pelajaran pendidikan seni ada yang beranggapan sebagai suatu aktiviti seni yang merangkumi kegiatan melukis dan membuat gambar atau lebih kepada bidang seni halus. Adakah seni halus itu serupa dengan pendidikan seni visual ? Ada setengah pihak pula beranggapan Pendidikan Seni menjurus kepada kerja-kerja menghasilkan produk kraf. Ada yang beranggapan pendidikan seni visual kini lebih berbentuk akademik dengan mengajukan bidang sejarah dan apresiasi seni .

Kesamaran ini perlulah dijelaskan. Bidang-bidang ilmu itu mempunyai falsafah dan struktur ilmu yang khusus masing-masing menjurus kepada matlamat yang berlainan. Sekiranya pemikiran dan keparcayaan yang masih bercelaru ini tidak dijelaskan bagaimana seorang guru itu dapat mendukung falsafah dan matlamat matapelajaran yang diajar. Kesannya ialah akan berlaku penyempangan dan mengawal proses pendidikan yang mengikut selera yang tidak tentu arah dan matlamatnya. Akhirnya mata pelajaran ini seperti ayam kehilangan ibu dan seperti layang-layang putus tali.

Usaha telah dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Kurikulum untuk menjelaskan konsep pendidikan seni ini. Jikalau diteliti kesemua peringkat sukatan pelajaran pendidikan seni yang disediakan sudah jelas pengertian dan matlamatnya. Tetapi kecelaruan itu masih berlaku dalam kepercayaan dan amalan di bilik darjah atau ketika proses pengoprasian dilakukan . Nilai-nilai pendidikan tidak berjaya diamalkan dalam proses p&p Pendidikan Seni di bilik darjah tumpuan lebih kepada matlamat menghasilkan produk semata-mata. Untuk menjelaskan lagi konsep Pendidikan Seni itu, menurut Eisner (1972) terdapat tiga komponen dalam P&P yang saling berkait iaitu, berpusatkan pelajar, subjek dan masyarakat. Ini selari dengan pendapat para akademik seperti Ralph Tyler yang membahaskan bahawa semua teori-teori dan program pendidikan mesti berfokus kepada tiga komponen tersebut.


Subjek





Pelajar Masyarakat


Pendidik mata pelajaran ini harus jelas akan 3 persoalan di bawah ini:
• Siapa yang kita ajar
• Mengapa kita mengajar
• Apa yang kita ajar

(Laura Chapman 1978)

Siapa yang kita ajar: Merujuk kepada kanak-kanak di sekolah bermula di peringkat tadika hinggalah remaja di sekolah menengah malah hingga orang dewasa yang mengikuti pendidikan sepanjang hayat (life long education).

Mengapa kita mengajar: Jawapan persoalan ini merujuk kepada apalah matlamat dan objektif khusus yang jelas ialah untuk membantu memperbaiki masyarakat supaya kehidupannya lebih selesa. Membantu pelajar kita agar kehidupan masa hadapannya lebih sempurna.

Apa yang kita ajar: Yang kita ajar adalah proses mengurus dan mempermudahkan struktur ilmu Pendidikan Seni agar domain kognitif pelajar berkembang, menerapkan nilai-nilai dalam pembentukan sahsiah pelajar agar domain efektifnya terbentuk dan meningkatkan kemahiran psikomotor mereka.

Masalah Mentafsir Kandungan Pendidikan Seni Visual ke dalam bentuk Operasi di bilik darjah :
Beberapa unsur terlibat dalam proses ini , pertamanya sejauh mana penguasaan ilmu dikalangan kita yang berkaitan dengan kandungan mata pelajaran ini. Keduanya setakat mana keupayaan kita berupaya mengurus unsur-unsur dalam kurikulum pendidikan seni. Ketiga setakat mana kita jelas tentang keperluan murid-murid atau pelajarnya ketika belajar pendidikan seni. Keperluan dari segi psikologi, sosial, fizikal, emosi dan sebagainya. Keempatnya setakat mana kita mampu menguruskan masa berbanding dengan jumlah kandungan yang hendak diajar dan dengan kemudahan yang ada. Kelimanya apakah kepercayaan kita kepada konsep perancangan, adakah kita mengamalkan kepercayaan “selesaikan semua isi kandungan yang dirancang, “buat sahaja perancangan pelajaran tahun lalu” atau sikap ambil mudah dalam merancang rancangan pelajaran pendidikan seni. Keenam kretiviti guru mengatasi masalah “kekurangan”

Yang jelas ialah perlunya memiliki pengetahuan yang mencukupi dan sikap yang positif terhadap tugas sebagai guru pendidikan seni. Latihan yang didapati di maktab atau universiti belum menjamin keberkesanan guru dalam menyediakan pelajaran pendidikan seni ini kerana guru perlu mengemasakinikan dirinya dengan pengetahuan-pengetahuan dan kemahiran baru yang boleh mempengaruhi tingkah laku guru untuk bertindak secara lebih positif dalam mentafsir kandungan pelajaran ini sesuai dengan keperluan dan perubahan semasa.
Konsep DBAE umpamanya tidak pernah dipelajari ketika berkursus dalam tahun 70an atau 80an. Tetapi konsep atau struktur kurikulum berdasarkan empat disiplin ilmu pendidikan seni ini merupakan amalan terkini di peringkat antarabangsa. Sukatan pelajaran pendidikan seni (visual) terpengaruh dengan perubahan ini. Persoalannya adakah guru-guru di sekolah rendah atau menengah sedar tentang keadaan ini. Sesuatu perubahan baru tentangnya perlu disampaikan kepada guru-guru di sekolah. Oleh itu perlulah diusahakan suatu makanisma bagaimana maklumat seperti ini sampai kepada para guru. Kepada yang menguasai ICT mereka mampu mendapatkan maklumat terkini dengan melayari internet. Suatu cara lain ialah melalui jurnal yang diterbitkan oleh pihak-pihak tertentu. Yang pentingnya ada pihak yang bertanggungjawab untuk menulis menerbit dan mengedarkannya. Suatu cara lagi adalah melalui kursus-kursus pendek dalam pendidikan seni perlu selalu diadakan oleh pihak tertentu sama ada dianjur oleh pihak kementerian atau institusi pengajian tinggi yang lain.
Hanya dengan ilmu dan kemahiran yang ada berserta dengan jelas falsafah, matlamat dan objektif barulah seseorang guru pendidikan seni itu dapat merancang pelajaran dengan berkesan . Kandungan sukatan pelajaran boleh ditafsir dengan tepat seperti yang dikehandaki. Setiap tajuk pelajaran dapat dikembangkan kepada pelajar secara bersepadu dengan menitikberatkan kepada memperkayakan pengalaman pelajar menerusi proses pembelajaran bersepadu. Sebagai contoh suatu proses pelajaran yeng berkaitan dengan komposisi dalam membuat gambar. Proses pembelajaran tidak mungkin boleh diselesaikan dalam masa satu sesi pelajaran sahaja. Seharusnya pelajar didedahkan dahulu dengan konsep gubahan dalam sebuah catan dengan merujuk beberapa contoh seniman tempatan atau antarabangsa. Sesi ini pelajar bersama-sama meneroka dan mencari maklumat yang dirangsang oleh guru, secara tidak langsung sesi kritikan berlaku, pelajar boleh membuat perbandingan, seterusnya membuat rumusan. Sesi berikut pelajar boleh menggunakan kriteria, gubahan dari mana-mana seniman yang dipilih kemudian membuat gambar, mungkin menggunakan kaedah peniruan itu tidak salah kerana ia merupakan suatu proses belajar. Setelah mereka faham dan mengenalpasti konsep gubahan dalam catan mereka perlu membuat sebuah cipataan berdasarkan kefahaman mereka sendiri dengan mengambil kira peraturan- peraturan dalam membuat sebuah gubahan yang telah mereka temui. Sesi berikutnya disusuli dengan sesi kritikan tentang kerja-kerja mereka pula.

Melalui proses di atas pelajar diberi ilmu bagaimana untuk membuat sebuah gubahan yang baik (merujuk kepada data-data dari guru dan seniman terpilih) dengan ilmu itu pelajar menggunakan sebagai latihan, konsep dalam gubahan bertambah, kamahiran juga bertambah melalui latihan, proses pengamatan semakin matang maka pelajar semakin yakin kepada keupayaan dirinya untuk terus berkreatif. Dalam proses ini yang penting adalah :
• peningkatan ilmu dalam membuat gubahan
• peningkatan ilmu dalam sejarah seni, mengenali tokoh seni
• peningkatan ilmu dalam estetika dan laras bahasa seni (mengenal gubahan yang baik)
• peningkatan ilmu dalam kritikan dan laras bahasa seni
• pengamatan terhadap sesuatu gubahan dalam ruang dua dimensi semakin berkembang
• pelajar lebih berasa yakin terhadap kebolehannya, kerana guru telah merancang pelajaran dengan memfokuskan kepada prosidur (Lansing 1971, Efland 1977)


Latihan dan Kursus Pendidikan Seni di peringkat Maktab Perguruan dan Institusi Pengajian Tinggi:
Apabila seseorang graduan atau guru awalan yang berkelulusan seni, pendidikan seni atau yang berkaitan dengan seni visual melangkah kakinya ke sekolah mereka akan membawa bersama pengalaman semasa latihannya ke sekolah. Setiap institusi membekalkan pengalaman pelajarnya berdasarkan matlamat dan objektif latihan masing-masing. Latar belakang pengalaman graduan itu bergantung kepada bidang kepakaran (pengkhususannya) ditambah dengan kursus diploma pendidikan selama setahun atau seumpamanya. Sedangkan ruanglingkup isi kandungan dalam sukatan pelajaran pendidikan seni sekolah menengah dan sukatan pelajaran baru pendidikan seni STPM begitu luas sekali. Untuk menjadi sebagai seorang guru pendidikan seni yang berkesan latihan yang didapati di institusi pengajian tinggi itu masih tidak mencukupi, kecuali pengajaran pendidikan seni disekolah menengah dilakukan berdasarkan pengkhususan bidang masing-masing. Jikalau sebaliknya apabila guru golongan ini diminta mengajar keseluruhan tajuk-tajuk pelajaran ini bagi satu-satu tingkatan sedangkan beliau mahir dalam suatu bidang pengkhususan sahaja maka beberapa tajuk lain akan tertinggal, kerana kurang mahir dan tidak berkeyakinan untuk mengajar. Sekira ini yang berlaku maka konsep pendidikan seni akan menjadi lebih terkeliru di peringkat ini.
Seperkara lagi corak latihan yang diterima oleh bakal-bakal guru di maktab perguruan. Rata-rata bakal guru ini akan mengajar di sekolah rendah. Pendidikan seni di peringkat sekolah rendah merupakan tahap pembentukan konsep yang amat penting. Hubungan antara pelajaran pendidikan seni dan kanak-kanak sekolah rendah khususnya di tahap satu amatlah signifikan. Pelajaran pendidikan seni di peringkat ini lebih merupakan suatu proses untuk membantu perkembangan dan pertumbuhan menyeluruh kanak-kanak. Landasan pelajaran ini adalah berlandaskan teori perkembangan. Dan pendidikan seni kepada kanak-kanak adalah lebih kepada keperluan eksprasif, di samping perlu untuk meningkat domain kognitif, afaktif dan psikomotor mereka. Ianya banyak menyentuh tentang aspek psikologi perkembangan. Oleh itu guru-guru pendidikan seni perlulah benar-benar terlatih dalam bidang ini. Persoalannya sejauh manakah latihan yang mereka lalui. Adakah hal tersebut merupakan fokus latihan bagi kursus pendidikan seni untuk bakal guru sekolah rendah ?

“Siapa saja boleh mengajar Pendidikan Seni”, Pendidikan Seni “pelajaran yang tidak ada potensi”
Seperkara lagi yang menjadi isu dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni adalah tanggapan masyarakat sekolah yang sering beranggapan bahawa : sesiapa sahaja boleh mengajar pendidikan seni, pendidikan seni merupakan waktu untuk guru-guru “berehat” setelah penat mengajar mata pelajaran lain yang “lebih berat”. Selagi tanggapan ini tidak dibetulkan selagi itulah mata pelajaran ini beransur-ansur lenyap dari pandangan positif masyarakat sekolah. Kerana tanggapan inilah menjadikan pelajaran ini semakin sehari semakin dipinggirkan oleh masyarakat. Malahan ada kalangan guru yang pernah terlatih dalam pendidikan seni merasa malu mengajar pelajaran ini, mereka lebih rela mengajar pendidikan jasmani, dan pelajaran lain yang lebih “glamour”.

Selagi pelajaran ini diajar oleh mereka yang tidak terlatih dan tidak inovatif serta kreatif dalam menyediakan pelajaran maka selagi itulah konsep dan roh pelajaran pendidikan seni itu tidak akan hidup di dalam semangat pelajar. Selama itulah pelajar juga akan memandang sepi mata pelajaran ini. Kesannya akan menimbulkan masalah kepada guru-guru pendidikan seni yang bersemangat untuk mengajar kerana pelajar-pelajarnya menolak untuk belajar pendidikan seni, Ini berlaku kerana berdasarkan pengalaman mereka pelajaran pendidikan seni adalah pelajaran untuk berseronok kosong, hambar, kosong, “masa rehat” , dan tiada nilai masa depan serta tiada yang baru, belajar dari sekolah rendah hingga ketingkatan lima benda yang sama saja . (Respon pelajar terhadap soal selidik persepsi pelajar terhadap pandidikan seni, 1999 di kawasan Batang Padang)

Untuk merubah persepsi pelajar ini memerlukan pengorbanan yang besar. Guru perlu gigih dan sabar, perlu memiliki motivasi yang tinggi. Guru perlu menguasai keperluan sebenar pelajar mempelajari pelajaran ini. Tahap awal guru perlulah menanamkan keyakinan kepada pelajarnya bahawa pelajaran ini “berbaloi untuk belajar” Pelajaran perlulah memiliki unsur istimewa yang mendorong pelajar untuk terlibat sama walaupun terpaksa mengeluarkan wang, tenaga dan masa. Mereka sanggup melaluinya sekiranya pendidikan seni itu menarik, berpotensi, berbaloi untuk belajar, ada nilai keilmuannya. Untuk ini guru terpaksalah menggunakan berbagai kaedah untuk memotivasikan pelajarnya melalui berbagai strategi pengajaran dan pembelajaran. Pelajar juga perlu didedahkan kepada berbagai bidang dan jenis kerajaya yang boleh membuka mata mereka bahawa mempelajari pelajaran pendidikan seni ada potensi dalam kerjaya jikalau diberi tumpuan bersungguh-sungguh.

Memertabatkan pelajaran Pendidikan Seni Selari dengan matapelajaran yang lain: Isu untuk memertabatkan matapelajaran pendidikan seni seiring dengan mata pelajaran yang lain bukanlah suatu isu yang baru. Saya percaya guru-guru yang mencintai bidang ini sentiasa memperjuangkannya. Pada dasaranya matapelajaran pendidikan seni adalah tergolong dalam kumpulan matapelajaran asas dari sekolah randah hingga tingkatan tiga. Sama tarafnya dengan mata pelajaran sejarah, geografi, kemahiran hidup, pendidikan jasmani dan kesihatan dan sebagainya. Agihan jam interaksinya dalam seminggu pun sama iaitu tiga waktu seminggu.
Apabila seseorang pelajar sekolah menengah tamat peperikasaan SPM mereka yang mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia boleh menunjukkan keupayaannya dalam berbahasa samaada dalam bentuk tulisan ataupun lisan. Begitu juga mereka yang lulus dalam matematik mampu menyelsaikan masalah matematik berdasarkan ilmu pengetahuan yang mereka kuasai. Pelajar dari bidang vokesional dan teknikal pula mampu memperlihatkan kemahiran-kemahiran mereka, sesetengahnya menguasai kemahiran asas sebagai persediaan untuk peringkat pengajian lebih tinggi atau menceburi di bidang pekerjaan.

Persoalan dan kerisauan saya adalah mereka yang mendapat kepujian dalam pendidikan seni di peringkat SPM, apakah istimewanya mereka. Adakah mereka memiliki tahap ilmu seni setara dengan peringkat SPM seperti mata pelajaran yang lain ? Adakah mereka memiliki daya kreativiti yang tinggi, setara dengan SPM. Adakah kemahiran mereka dalam penciptaan dan penghasilan karya seni setara dengan kemahiran-kemahiran mata pelajaran lain di peringkat SPM. Adakah kita sudah merasa puas tentang tahap pendidikan seni sekarang ?
Untuk menjawab persoalan-persoalan di atas kita boleh jadikan objektif-objektif pelajaran pendidikan seni sebagai landasan ukuran.
Keduanya kita perlu menilai semula bagaimana usaha kita menyusun atur isi kandungan mata pelajaran ini secara berperingkat-peringkat mulai daripada tahun satu sekolah rendah hinggalah ke tahap SPM. Ini adalah kemahiran membuat perancangan tahunan bagi setiap tahap Peringkat STPM, PPK telah berjaya memperlihatkan suatu tahap mutu kandungan yang setara dengan kedudukannya, walaupun masih di peringkat permulaan tetapi jauh lebih bermutu berbanding dengan kandungan sukatan pelajaran lama.
Ketiga , sudah sampai masanya mata pelajaran ini memiliki buku rujukan atau sekurang-kurangnya ada buku panduan. Soalannya berbalik semula kepada isu yang di atas iaitu bergantung kepada keupayaan guru menterjemah isi kandungan ke dalam bentuk operasi dalam P&P di bilik darjah.
Keempatnya sebagai mata pelajaran sekolah , keperluan asasnya dari segi infrastruktur perlulah diberi perhatian. Sudah sampai masanya setiap sekolah memiliki sekurang-kurangnya satu bilik seni yang lengkap sama seperti pelajaran Kemahiran Hidup, Sains Rumahtangga atau matapelajaran Sains.
Kelima: Hanya guru yang layak sahaja mengajar waktu pelajaran ini. Keenamnya, mungkinkah Seni memiliki sekolah menengah khasnya seperti juga sekolah sukan ? seperti ura-ura jabatan Pendidikan Johor ?


Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni:
Apakah pendekatan yang digunakan oleh guru untuk mengajar Pendidikan Seni ? Adakah kita henya menggunakan pendekatan p&p yang steriotaip sahaja? Sebenarnya terdapat berbagai pendekatan yang bolah kita amaklan agar proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini lebih menarik. Sebagai contohnya guru bolah menggunakan:

Pendekatan Kemanusiaan dalam Pengajaran Pendidikan Seni:
Menurut Michael (1983) dan Feldman (1970) mencadangkan agar guru menggunakan pendekatan kemanusiaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Menerusi proses pembelajaran yang berlandaskan pendekatan kemanusiaan itu pelajar akan mengenali dirinya dan hubungan dengan masyarakat dan kehidupannya. Keadaan ini akan membantu proses perkembangan mereka dari peringkat paling asas iaitu mengenali diri sendiri, mengenali seni dan kelompok-kelompok masyarakat kecil di persekitaran mereka, peka tentang perasaan mereka , memiliki konsepsi diri yang jelas dan boleh menyatakan pernyataan diri mereka secara kreatif melalui media. Seterusnya mengenali nilai-nilai kemanusiaaan yang boleh digarap maklumatnya daripada karya atau pernyataan seni yang boleh dikesan pada mana-mana bentuk seni atau mana-mana karya seni.
Pendekatan Behaviorisme
Ahli behaviorisme mempercayai tingkah laku pelajar boleh dibentuk melalui pengalaman-pengalaman pendidikan yang disediakan. Perancangan Pendidikan Seni yang berkaitan dengan situasi kehidupan sebenar adalah penting untuk memastikan kejayaan yang lebih berkesan bagi mencapai objektif pembelajaran.
Aspek asas kepada pendekatan ini adalah guru-guru perlu mematuhi disiplin untuk pencapaian sesuatu matlamat yang telah ditentukan dengan mengenalpasti keutamaan, mengaplikasi kaedah-kaedah penyelidikan terhadap tugas-tugas pengajaran dari semasa ke semasa dan bersedia untuk mereka bentuk alat-alat untuk pengujian dan penilaian dalam pembelajaran dan pengajaran seni.

Masalah utama yang mungkin dihadapi oleh guru adalah untuk menentukan tingkahlaku berasaskan objektif kurikulum pendidikan seni. Apakah tingkah laku yang relevan untuk Pendidikan Seni ? Bagaimana seseorang itu boleh mencapai perubahan tingkah laku ketika belajar Pendidikan Seni ? Sampai ke tahap manakah sesuatu perubahan itu dinilai ? Matlamat dan objektif manakah yang digunakan sebagai ukuran untuk sesuatu penilaian. Bolehkah dikenalpasti apa yang boleh dipelajari, apa yang akan diajar dan tingkah laku pelajar yang macam mana yang perlu dibentuk?

Pengamatan sebagai pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni.
Merujuk kepada objektif pelajaran Pendidikan Seni sama ada untuk sekolah menengah atau rendah, salah satu tujuan pembelajaran Pendidikan Seni adalah untuk menajamkan persepsi pelajar. Semua pembelajaran Pendidikan Seni menitikberatkan kepada persepsi (pengamatan) proses mendapat pengetahuan, melayani perasaan dan pernyataan semuanya berlaku menersui deria kita. Sesetengah berpendapat pengamatan melalui deria itu adalah kunci kepada segala ilmu dan pengetahuan. Ianya adalah tingkah laku asas dalam proses seseorang melengkapkan ilmu pengetahuan melalui penerokaan alam persekitrannya.
Proses pengamatan melibatkan seseorang itu membuat penelitian, menganalisis, mengsintesis dan menilai. Ia merupakan suatu proses mengurus maklumat yang memerlukan tindakan integrasi secara kreatif. Proses ini juga memerlukan seseorang itu berfikir secara terbuka dan lebih bersifat luwes .
Dalam kurikulum Pendidikan Seni aktiivti pengamatan ini telah ditetapkan supaya dilaksanakan mulai dari awal persekolahan hinggalah ke tingkatan menengah atas, Amalannya adalah mengikut tahap keupayaan pelajar. Guru-guru perlu menguasai dan mengenalpasti tahap keupayaan pengamatan pelajarnya dan menggunakannya untuk tujuan perancnagan pengajaran dan pembelajaran.

Aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk mengembangkan keupayaan pengamatan ini perlu dikenalpasti. Aktiviti yang boleh membantu pelajar untuk memajukan pengamatan, dan meningkatkan proses kematangan deria perlu disediakan. Program-program perlu disediakan sehingga berjaya membawa perubahan secara mampan terhadap aras kepekaan pengamatan pelajar.

Pendekatan Perkembangan Menyeluruh
Pendidikan seni adalah merupakan bidang ilmu yang menjelaskan konsep pendidikan menyeluruh, yang memenuhi tuntutan domain kognitif, afektif dan psikomotor. Ini sejajar dengan Falsafah PendidikanNegara. Kneeth M. Lancing (1971), pada dasarnya manyatakan bahawa pendidikan seni perlu memfokuskan perhatian kepada tiga domain utama tersebut. Antara kandungan yang ada di dalam ketiga-tiga domain tersebut adalah;

Domain Kognitif : iaitu ilmu yang berkaitan dengan gubahan, prosedur, sejarah dan apresiasi, estetika serta seni dalam kehidupan.
Domain Afektif : iaitu suatu aspek yang berkaitan dengan nilai, sikap, minat, keperihatinan, mempunyai pertimbangan, menghargai warisan dan mempunyai sahsiah yang baik.
Domain Psikomotor: iaitu menumpukan kepada pertumbuhan kemahiran dalam pergerakan atau gerak balas yang boleh terbentuk melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan kualiti koordinasi antara mata , tangan, otot dan mental.

Seterusnya pelajar yang berbakat akan menjadi penggiat seni dan yang kurang berbakat atau berkemahiran akan menjadi penggemar atau pengkritik seni yang mahir serta berilmu pengetahuan hasil dari proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan seni.

Kesimpulannya:
Banyak isu-isu lain yang tidak diutarakan di sini umpamanya isu yang berkait dengan pendidikan merangkupi era ICT dan seumpamanya. Walaubagaimanapun tahniah diucapkan kepada Kementerian Pendidikan di bawah urusetia Pusat Perkembangan Kurikulum dan unit-unit lain yang telah berusaha untuk meletakkan matapelajaran pendidikan seni ini ke tahap yang sewajarnya. Usaha untuk mengemaskini kualiti sukatan pelajaran dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat SPM dan STPM telah dan sedang dilakukan. Usaha ini dilakukan dengan melibatkan wakil-wakil dari semua peringkat sistem pendidikan Negara kita. Pernyataan falsafah, matlamat dan objektifnya telah jelas. Isi kandung pelajaran dan ruang lingkupnya telah dinyatakan selaras dengan tahap sukatan pelajaran. Dengan harapan agar mata pelajaran pendidikan seni dapat memenuhi harsat wawasan dan falsafah pendidkan kebangsaan, dalam usaha untuk memberi persediaan kepada generasi muda dengan ilmu, nilai dan kemahiran kepada generasi muda dengan personality sebagai rakyat Malaysia yang cemerlang untuk generasi akan dating. Ini adalah harapannya. Realitinya diminta kita sama-sama membuat renungan. Sejauh manakah kita telah melaksanakan peranan kita untuk merealisasikan harapan itu. Sejauhmanakan kita telah meletakkan kualiti pengajaran kita dengan menguasai dan mengamalkan beberapa pendekatan sesuai untuk sesuatu matlamat pengajaran, supaya pelajaran pendidikan seni itu benar-benar berkualiti, menarik dan bermakna dari perspektif pelajar Daripada isu-isu yang telah diketengahkan di atas, mungkin kita perlu mengambil langkah untuk memperbaiki bersama-sama dengan memberi pandangan dan idea dalam seminar atau perbincangan yang amat perlu diadakan dengan lebih kerap lagi, mungkin melalui kelompok perbincangan yang lebih kecil . Semuga dengan itu dapat memartabatkan pelajaran pendidikan seni ini ke tempat yang sewajarnya.
Sekian.



Rujukan:
Abelson, R.P. & Rosenberg, M.J. (1958). Symbolic Psychology A Model of Attitudinal
Cognition. Behavior Science.
Al Hurwitz , Day, Michael (1996). Children and Their Art, (Sixth Ed.) New York: Havcourt Brace College Pub
Arnhem. R. (1974) Art and Visual perception. L.A. University of California Press.
Chapman, Laura H. (1978). Approaches to Art in Education. New York: Havcourt Brace Jovanovich Inc.
Day. D. Micheal (1998 ). Art Education: Essential for a balanced education , Arts Education Bulletin, April 1998

Day. D. Micheal , E-mail: mday@burgoyne.com

Degge, M. Rogena, E-mail : redgge@aaa.uoregon.edu

Dewey, John (1934). Art As Experience. New York: Minton Balco and Company.
Eisner,E.W. (1972)Educating artistic vision. NY. Macmillan
Efland,Arthur (1977). Planning Art Education. Middle/Secondary School Of Ohio: State of Ohio Dept. of Education.
Feldman, Edmund 1997, Art Its Image and Idea. New York. Prentice Hall.

_______________ 1997, Beaming Human Throung Art. New York.Prentice Hall.
Hassan Langgulung (1991). Kreativiti dan Pendidikan, Suatu Kajian Psikologi dan
Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Langsing, Kennet M. (1971). Art, Artists and Art Education. New York: Mc Grraw-Hill Book Company.
Laniear, Vincent (1975). Objektives of Art Education. The Impact of Trans: Peabody
Jurnal of Education.
Lowenfeld, Victor and Brittain W. Lambert (1970). Creative and Mental Growth. 5 th.
ed. New York: Macmillan Company.
Mc Fee, June King (1972). Preparation For Art. San Francisco: Wadswath Publishing
Company, Incorperation.
Raja Zalabuddin Raja Yaakub (1985). Bukankah Seni Untuk Masyarakat. Dewan
Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Zainon Ismail (1989). Percikan Seni. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Edmund Burke Feldman(1996). Philosophy of Art Education. Prentice Hall, New Jersey

Clark G., Day, M. and Greer, D. (1987) ‘ Discipline-based art education : becoming students of art’. The Journal of Aesthetic Education, (21)2


htpp://www., artsdnet@getty.edu© 1999 J. Paul Getty Trust.

Fungsi otak kiri dan Kanan..

Mengenali otak manusia sebenarnya seperti kita membuka satu “motherboard” sebuah komputer yang akan menjelaskan bagaimanakah sistem komputer itu berkerja, kekuatan (kelajuan) komputer tersebut, kekuatan memorinya (RAM), kesesuaian pengunaan komputer tersebut (untuk kegunaan personal , kegunaan pejabat, penggunaan programmer dan seterusnya) dan sebagainya.

Begitu juga bagi otak, mengenali dan memahami susunan otak dan komponen/komposisi otak seakan memberitahu kita siapakah indivudu itu sebenarnya, kemampuannya dan bagaimana seseorang individu itu berinteriksi serta bertindakbalas dalam kehidupannya (Malahan sudah tentu lebih kompleks dari komputer).
Otak manusia terdiri dari belahan atau hemisfera otak kiri dan kanan (selain mempunyai 3 susunan lapisan:-

Otak kiri banyak dikaitkan dengan fungsi akademik yang terdiri dari kemampunan bercakap, kemampuan berbahasa, membaca tulisan, logik, angka, analisis, dan lain-lainnya. Biasanya ia diidentitikan dengan kecerdasan analitik atau intelek. Maksudnya otak kiri kita ini banyak berkait dengan kemampuan matematik, analisis dan kemampuan berfikir secara sistematik. Cara kerja otak ini sangat rapi, dan terstruktur/tersusun. Biasanya otak kiri ini sangat bermanfaat digunakan untuk memahami hal-hal yang kompleks dan perlu pemikiran yang mengkhusus. Individu yang biasanya lebih menggunakan otak kiri adalah seorang penganalisis, pengkaji, Ahli matematik atau saintis.

Sementara Otak kanan pula adalah tempat untuk perkembangan hal-hal yang bersifat artistik, kreativiti, perasaan, emosi, gaya bahasa, irama musik, imaginasi, fantasi, warna, pengenalan diri dan orang lain, hubungan sosial dan pengembangan keperibadian. Jika individu yang banyak yang mengatakan otak kiri dilabel sebagai pengendali IQ (Intelligence Quotient), otak kanan pula memegang peranan penting bagi perkembangan EQ (Emotional Ouotient). Fungsi dari otak kanan ini adalah untuk mengurus pola berpikir kreatif manusia, contohnya adalah kemampuan komunikasi (lingusitik). Cara kerja otak kanan ini biasanya tidak terstruktur, dan cenderung tidak memikirkan hal-hal yang terlalu khusus iaitu bertentangan dengan otak kiri. Contoh orang yang mengunakan otak kanan dibandingkan otak kirinya adalah seorang seniman, pelukis dan sebagainya.

Saya percaya anda tentu perasan bagaimana sesetengah individu akan mempunyai kelebihan pada nombor, lebih rasional atau logik hingga kelihatan sangat “terikat” dengan peraturan dan protokol yang menyebabkan ia boleh kelihatan seperti “robot”.
Sebaliknya , terdapat pula sesetengah individu yang sangat kreatif, berjiwa seni, sangat natural dan kerap kelihatan berada di dalam suasana yang semulajadi. Mereka seperti seorang artis, pelukis, pelakon, ahli muzik, pereka dan sebagainya.
Ini juga menjelaskan kita bagaimana individu terkenal seperti penyanyi M Nasir mempunyai kemampuan dalam kumpulan hemisfera otak yang sama (sebelah kanan) iaitu selain menyanyi, beliau juga berkemampuan dalam bidang gubahan dan penciptaan lagu, mengarah filem, pelukis, berkemampuan dalam bersajak. Begitu juga seperti SN Samad Said selain menulis novel, beliau juga adalah seorang pelukis.
Kenapa boleh jadi bergitu…….? Ini kerana “pemberat” dalam penggunaan belahan otak pada diri masing-masing.

Kerana itu, apabila anda telah mengetahui yang otak mempunyai dua belahan yang berfungsi mengikutkerja masing-masing, dan setiap hemisfera mempunyai kekuatan dan kekurangannya (saling melengkapi), anda sudah boleh menerangkan alasan yang munasabah dan saintifik terhadap perbezaaan yang terjadi di antara sesetengah individu.

Di dalam bidang sains minda, apa yang berlaku pada setiap inidvidu ini (malahan ada pada hampir setiap individu) dipanggil “Brain Lateralization”. Ramai juga pakar psikologis memanggil situasi tersebut sebagai “Brain Dominance” iaitu penggunaan yang tinggi pada belahan otak yang tertentu. Kajian ahli sains neurologi memikirkan situasi ini berlaku kerana gen seseorang individu (seperti penggunaan tangan kanan atau kidal). Tetapi sesetengah pakar kajian mengatakan oleh pengalaman pembesaran, pendidikan, pengaruh ibubapa dan juga situasi masyarakat sekeliling yang mempengaruhi penggunaan otak tersebut.

Meskipun kebanyakan individu akan menggunakan satu hemisfera yang lebih berbanding yang satu lagi (selalunya kebanyakan kita menggunakan otak kiri secara berlebihan kesan dari pendidikan di sekolah) tetapi secara puratanya seseorang individu akan menggunakan kedua-dua belahan otaknya untuk aktiviti-aktiviti seharian.
Bagaimanapun, untuk mencapai kualiti kehidupan yang lebih baik dan untuk kita mengoptimakan serta membangkitkan kemampuan POTENSI DIRI seseorang individu, penggunaan kedua-dua hemisfera otak adalah sangat penting. Iaitu kita menggunakan kedua-dua hemisfera otak dengan seimbang. Malahan kemampuan dan kekuatan fungsi otak akan meningkat secara drastik apabila kita dapat mengoptimakan kedua-dua belah otak ini. Ini yang dipanggil “Whole Brain”. Iaitu penggunaan otak yang lebih menyeluruh.

Jika dahulu bidang pendidikan hanya menggunakan dan mengiktirafkan kecerdasan intelek iaitu penggunaan yang ketara pada otak kiri, ahli psikologis dan pakar pendidikan semakin memahami bahawa ia tidak mengoptimakan fungsi dan kekuatan otak dan mempunyai kelemahan pada kecerdasan emosi (EQ). Terbukti, dinegara-negara yang maju dimana terdapat terlalu ramai pelajarnya yang tinggi dalam IQ dan cemerlang dalam pelajaran, mereka menghadapi masalah EQ yang ketara. Banyak masalah sosial datang dari kelemahan di sebelah EQ.

Kerana itu sekarang wujud banyak institusi seperti SuperLearning Technologies, Accelerated learning, Montenssori Method, The Shichida Method dan sebagainya iaitu institusi yang menggubah pendekatan pembelajaran kepada konsep “whole brain learning” dengan mengoptimakan keseluruhan otak untuk mendapat kecermelangan dalam kehidupan

Thursday, March 18, 2010

real DraWIng.









Definisi masalah

Masalah adalah apa-apa keadaan di mana tidak semua perkara berlaku sepatutnya atau terjadi sepertimana yang kita inginkan.

Definisi penyelesaian masalah

Mencipta perubahan untuk membawa sesuatu perkara itu dekat kepada keadaan yang dingini:
• Istilah penyelesaian masalah selalu digunakan bertukar ganti dengan istilah membuat keputusan
• Membuat keputusan ialah sebahagian daripada proses penyelesaian masalah
• Untuk menyelesaikan masalah,maka adalah perlu memutuskan apa yang patut dilakukan dan seterusnya melakukannya

Kebaikan penyelesaian masalah yang baik
• Dapat mengenal dan memberi keutamaan kepada masalah dengan lebih baik
• Mengurangkan tekanan
• Dapat mencapai satu cara yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah dengan membuahkan hasil yang lebih baik
• Dapat mengurangkan penggunaan sumber seperti masa, tenaga kerja dan kewangan
Cadangan langkah penyelesaian masalah dengan menggunakan kaedah IDEAL


Menyelesaikan masalah gunakan IDEAL

Tanya diri sendiri dan tanya orang lain:
• I = Kenal pasti (identify) apa masalah / menyebabkannya:
Apa sebenar yang terjadi?
Siapakah yang terlibat?
Apakah elemen-elemen masalah?
Bilakah perkara itu terjadi?
Dimanakah perkara itu terjadi?

• D = Huraikan (describe) - pilihan-pilihan yang ada untuk menyelesaikan masalah
• E = Nilaian (evaluate) - akibat yang akan berlaku pada setiap pilihan itu (kebaikan dan keburukan)
• A = Bertindak (Act) - pilihlah satu pilihan yang boleh dilakukan tindakan
• L = Belajarlah (Learn) - kaji semula sama ada tindakan yang baik telah dilakukan.
Berilah Pujian ke atas semua usaha yang telah dilakukan.(termasuk usaha anda sendiri)

Langkah I.D.E.A.L - melibatkan proses membuat keputusan yang tepat. (sila rujuk langkah-langkah membuat keputusan.)