Thursday, March 25, 2010

Pendidikan Seni Di Malaysia Antara Harapan Dan Realiti..

artikel dari:
Prof. Madya Hj. Iberahim
Dekan
Fakulti Sains Sosial dan Kesenian
Universiti Pendidikan Sultan Idris


Pertukaran nama daripada Seni Lukis dan Pertukangan Tangan kepada Pendidikan Seni pada awal tahun 1980an apabila KBSR diperkenalkan dan seterusnya akan bertukar semula namanya kepada Pendidikan Seni Visual pada 2002 tentulah berlatar belakangkan rasional yang amat signifikan. Ianya memberi kesan yang jelas kepada matlamat dan objektif keseluruhan mata pelajaran ini. Kandungan mata pelajaran pun akan berubah atau bertambah. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran juga akan berubah mengikut keperluan seterusnya akan mempengaruhi strategi dan kaedah pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah juga. Yang tidak kurang pentingnya ialah falsafah, kepercayaan dan amalan guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini perlu selari dengan falsafah dan matlamat mata pelajaran ini.

Pada hari ini dan beberapa tahun kebelakangan berbagai-bagai pihak yang bergiat dalam pendidikan seni visual sama ada secara individu maupun oleh institusi, kerajaan dan badan bukan kerajaan berusaha dengan berbagai-bagai pendekatan dan kaedah untuk meletakkan mata pelajaran pendidikan seni (visual) ini ke atas landasan yang benar agar martabatnya selari dengan mata pelajaran sekolah yang lain. Dalam usaha ke arah itu beberapa isu yang bersangkutan dengan keberkesanan pedagogi mata pelajaran ini perlu dijelaskan.

Pendidikan Seni Visual- Seni Halus – Seni Kraf : Kecelaruan Konsep

“Art Education” kini kita panggil Pendidikan Seni (Visual) sebagai satu mata pelajaran. Kita perlu menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan mata pelajaran ini. Kerana sehingga kini dari pengamatan dan kajian saya masih terdapat berbagai-bagai tanggapan dan tafsiran tentang pendidikan seni (visual) ini. Kerana apabila disebut pelajaran pendidikan seni ada yang beranggapan sebagai suatu aktiviti seni yang merangkumi kegiatan melukis dan membuat gambar atau lebih kepada bidang seni halus. Adakah seni halus itu serupa dengan pendidikan seni visual ? Ada setengah pihak pula beranggapan Pendidikan Seni menjurus kepada kerja-kerja menghasilkan produk kraf. Ada yang beranggapan pendidikan seni visual kini lebih berbentuk akademik dengan mengajukan bidang sejarah dan apresiasi seni .

Kesamaran ini perlulah dijelaskan. Bidang-bidang ilmu itu mempunyai falsafah dan struktur ilmu yang khusus masing-masing menjurus kepada matlamat yang berlainan. Sekiranya pemikiran dan keparcayaan yang masih bercelaru ini tidak dijelaskan bagaimana seorang guru itu dapat mendukung falsafah dan matlamat matapelajaran yang diajar. Kesannya ialah akan berlaku penyempangan dan mengawal proses pendidikan yang mengikut selera yang tidak tentu arah dan matlamatnya. Akhirnya mata pelajaran ini seperti ayam kehilangan ibu dan seperti layang-layang putus tali.

Usaha telah dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Kurikulum untuk menjelaskan konsep pendidikan seni ini. Jikalau diteliti kesemua peringkat sukatan pelajaran pendidikan seni yang disediakan sudah jelas pengertian dan matlamatnya. Tetapi kecelaruan itu masih berlaku dalam kepercayaan dan amalan di bilik darjah atau ketika proses pengoprasian dilakukan . Nilai-nilai pendidikan tidak berjaya diamalkan dalam proses p&p Pendidikan Seni di bilik darjah tumpuan lebih kepada matlamat menghasilkan produk semata-mata. Untuk menjelaskan lagi konsep Pendidikan Seni itu, menurut Eisner (1972) terdapat tiga komponen dalam P&P yang saling berkait iaitu, berpusatkan pelajar, subjek dan masyarakat. Ini selari dengan pendapat para akademik seperti Ralph Tyler yang membahaskan bahawa semua teori-teori dan program pendidikan mesti berfokus kepada tiga komponen tersebut.


Subjek





Pelajar Masyarakat


Pendidik mata pelajaran ini harus jelas akan 3 persoalan di bawah ini:
• Siapa yang kita ajar
• Mengapa kita mengajar
• Apa yang kita ajar

(Laura Chapman 1978)

Siapa yang kita ajar: Merujuk kepada kanak-kanak di sekolah bermula di peringkat tadika hinggalah remaja di sekolah menengah malah hingga orang dewasa yang mengikuti pendidikan sepanjang hayat (life long education).

Mengapa kita mengajar: Jawapan persoalan ini merujuk kepada apalah matlamat dan objektif khusus yang jelas ialah untuk membantu memperbaiki masyarakat supaya kehidupannya lebih selesa. Membantu pelajar kita agar kehidupan masa hadapannya lebih sempurna.

Apa yang kita ajar: Yang kita ajar adalah proses mengurus dan mempermudahkan struktur ilmu Pendidikan Seni agar domain kognitif pelajar berkembang, menerapkan nilai-nilai dalam pembentukan sahsiah pelajar agar domain efektifnya terbentuk dan meningkatkan kemahiran psikomotor mereka.

Masalah Mentafsir Kandungan Pendidikan Seni Visual ke dalam bentuk Operasi di bilik darjah :
Beberapa unsur terlibat dalam proses ini , pertamanya sejauh mana penguasaan ilmu dikalangan kita yang berkaitan dengan kandungan mata pelajaran ini. Keduanya setakat mana keupayaan kita berupaya mengurus unsur-unsur dalam kurikulum pendidikan seni. Ketiga setakat mana kita jelas tentang keperluan murid-murid atau pelajarnya ketika belajar pendidikan seni. Keperluan dari segi psikologi, sosial, fizikal, emosi dan sebagainya. Keempatnya setakat mana kita mampu menguruskan masa berbanding dengan jumlah kandungan yang hendak diajar dan dengan kemudahan yang ada. Kelimanya apakah kepercayaan kita kepada konsep perancangan, adakah kita mengamalkan kepercayaan “selesaikan semua isi kandungan yang dirancang, “buat sahaja perancangan pelajaran tahun lalu” atau sikap ambil mudah dalam merancang rancangan pelajaran pendidikan seni. Keenam kretiviti guru mengatasi masalah “kekurangan”

Yang jelas ialah perlunya memiliki pengetahuan yang mencukupi dan sikap yang positif terhadap tugas sebagai guru pendidikan seni. Latihan yang didapati di maktab atau universiti belum menjamin keberkesanan guru dalam menyediakan pelajaran pendidikan seni ini kerana guru perlu mengemasakinikan dirinya dengan pengetahuan-pengetahuan dan kemahiran baru yang boleh mempengaruhi tingkah laku guru untuk bertindak secara lebih positif dalam mentafsir kandungan pelajaran ini sesuai dengan keperluan dan perubahan semasa.
Konsep DBAE umpamanya tidak pernah dipelajari ketika berkursus dalam tahun 70an atau 80an. Tetapi konsep atau struktur kurikulum berdasarkan empat disiplin ilmu pendidikan seni ini merupakan amalan terkini di peringkat antarabangsa. Sukatan pelajaran pendidikan seni (visual) terpengaruh dengan perubahan ini. Persoalannya adakah guru-guru di sekolah rendah atau menengah sedar tentang keadaan ini. Sesuatu perubahan baru tentangnya perlu disampaikan kepada guru-guru di sekolah. Oleh itu perlulah diusahakan suatu makanisma bagaimana maklumat seperti ini sampai kepada para guru. Kepada yang menguasai ICT mereka mampu mendapatkan maklumat terkini dengan melayari internet. Suatu cara lain ialah melalui jurnal yang diterbitkan oleh pihak-pihak tertentu. Yang pentingnya ada pihak yang bertanggungjawab untuk menulis menerbit dan mengedarkannya. Suatu cara lagi adalah melalui kursus-kursus pendek dalam pendidikan seni perlu selalu diadakan oleh pihak tertentu sama ada dianjur oleh pihak kementerian atau institusi pengajian tinggi yang lain.
Hanya dengan ilmu dan kemahiran yang ada berserta dengan jelas falsafah, matlamat dan objektif barulah seseorang guru pendidikan seni itu dapat merancang pelajaran dengan berkesan . Kandungan sukatan pelajaran boleh ditafsir dengan tepat seperti yang dikehandaki. Setiap tajuk pelajaran dapat dikembangkan kepada pelajar secara bersepadu dengan menitikberatkan kepada memperkayakan pengalaman pelajar menerusi proses pembelajaran bersepadu. Sebagai contoh suatu proses pelajaran yeng berkaitan dengan komposisi dalam membuat gambar. Proses pembelajaran tidak mungkin boleh diselesaikan dalam masa satu sesi pelajaran sahaja. Seharusnya pelajar didedahkan dahulu dengan konsep gubahan dalam sebuah catan dengan merujuk beberapa contoh seniman tempatan atau antarabangsa. Sesi ini pelajar bersama-sama meneroka dan mencari maklumat yang dirangsang oleh guru, secara tidak langsung sesi kritikan berlaku, pelajar boleh membuat perbandingan, seterusnya membuat rumusan. Sesi berikut pelajar boleh menggunakan kriteria, gubahan dari mana-mana seniman yang dipilih kemudian membuat gambar, mungkin menggunakan kaedah peniruan itu tidak salah kerana ia merupakan suatu proses belajar. Setelah mereka faham dan mengenalpasti konsep gubahan dalam catan mereka perlu membuat sebuah cipataan berdasarkan kefahaman mereka sendiri dengan mengambil kira peraturan- peraturan dalam membuat sebuah gubahan yang telah mereka temui. Sesi berikutnya disusuli dengan sesi kritikan tentang kerja-kerja mereka pula.

Melalui proses di atas pelajar diberi ilmu bagaimana untuk membuat sebuah gubahan yang baik (merujuk kepada data-data dari guru dan seniman terpilih) dengan ilmu itu pelajar menggunakan sebagai latihan, konsep dalam gubahan bertambah, kamahiran juga bertambah melalui latihan, proses pengamatan semakin matang maka pelajar semakin yakin kepada keupayaan dirinya untuk terus berkreatif. Dalam proses ini yang penting adalah :
• peningkatan ilmu dalam membuat gubahan
• peningkatan ilmu dalam sejarah seni, mengenali tokoh seni
• peningkatan ilmu dalam estetika dan laras bahasa seni (mengenal gubahan yang baik)
• peningkatan ilmu dalam kritikan dan laras bahasa seni
• pengamatan terhadap sesuatu gubahan dalam ruang dua dimensi semakin berkembang
• pelajar lebih berasa yakin terhadap kebolehannya, kerana guru telah merancang pelajaran dengan memfokuskan kepada prosidur (Lansing 1971, Efland 1977)


Latihan dan Kursus Pendidikan Seni di peringkat Maktab Perguruan dan Institusi Pengajian Tinggi:
Apabila seseorang graduan atau guru awalan yang berkelulusan seni, pendidikan seni atau yang berkaitan dengan seni visual melangkah kakinya ke sekolah mereka akan membawa bersama pengalaman semasa latihannya ke sekolah. Setiap institusi membekalkan pengalaman pelajarnya berdasarkan matlamat dan objektif latihan masing-masing. Latar belakang pengalaman graduan itu bergantung kepada bidang kepakaran (pengkhususannya) ditambah dengan kursus diploma pendidikan selama setahun atau seumpamanya. Sedangkan ruanglingkup isi kandungan dalam sukatan pelajaran pendidikan seni sekolah menengah dan sukatan pelajaran baru pendidikan seni STPM begitu luas sekali. Untuk menjadi sebagai seorang guru pendidikan seni yang berkesan latihan yang didapati di institusi pengajian tinggi itu masih tidak mencukupi, kecuali pengajaran pendidikan seni disekolah menengah dilakukan berdasarkan pengkhususan bidang masing-masing. Jikalau sebaliknya apabila guru golongan ini diminta mengajar keseluruhan tajuk-tajuk pelajaran ini bagi satu-satu tingkatan sedangkan beliau mahir dalam suatu bidang pengkhususan sahaja maka beberapa tajuk lain akan tertinggal, kerana kurang mahir dan tidak berkeyakinan untuk mengajar. Sekira ini yang berlaku maka konsep pendidikan seni akan menjadi lebih terkeliru di peringkat ini.
Seperkara lagi corak latihan yang diterima oleh bakal-bakal guru di maktab perguruan. Rata-rata bakal guru ini akan mengajar di sekolah rendah. Pendidikan seni di peringkat sekolah rendah merupakan tahap pembentukan konsep yang amat penting. Hubungan antara pelajaran pendidikan seni dan kanak-kanak sekolah rendah khususnya di tahap satu amatlah signifikan. Pelajaran pendidikan seni di peringkat ini lebih merupakan suatu proses untuk membantu perkembangan dan pertumbuhan menyeluruh kanak-kanak. Landasan pelajaran ini adalah berlandaskan teori perkembangan. Dan pendidikan seni kepada kanak-kanak adalah lebih kepada keperluan eksprasif, di samping perlu untuk meningkat domain kognitif, afaktif dan psikomotor mereka. Ianya banyak menyentuh tentang aspek psikologi perkembangan. Oleh itu guru-guru pendidikan seni perlulah benar-benar terlatih dalam bidang ini. Persoalannya sejauh manakah latihan yang mereka lalui. Adakah hal tersebut merupakan fokus latihan bagi kursus pendidikan seni untuk bakal guru sekolah rendah ?

“Siapa saja boleh mengajar Pendidikan Seni”, Pendidikan Seni “pelajaran yang tidak ada potensi”
Seperkara lagi yang menjadi isu dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni adalah tanggapan masyarakat sekolah yang sering beranggapan bahawa : sesiapa sahaja boleh mengajar pendidikan seni, pendidikan seni merupakan waktu untuk guru-guru “berehat” setelah penat mengajar mata pelajaran lain yang “lebih berat”. Selagi tanggapan ini tidak dibetulkan selagi itulah mata pelajaran ini beransur-ansur lenyap dari pandangan positif masyarakat sekolah. Kerana tanggapan inilah menjadikan pelajaran ini semakin sehari semakin dipinggirkan oleh masyarakat. Malahan ada kalangan guru yang pernah terlatih dalam pendidikan seni merasa malu mengajar pelajaran ini, mereka lebih rela mengajar pendidikan jasmani, dan pelajaran lain yang lebih “glamour”.

Selagi pelajaran ini diajar oleh mereka yang tidak terlatih dan tidak inovatif serta kreatif dalam menyediakan pelajaran maka selagi itulah konsep dan roh pelajaran pendidikan seni itu tidak akan hidup di dalam semangat pelajar. Selama itulah pelajar juga akan memandang sepi mata pelajaran ini. Kesannya akan menimbulkan masalah kepada guru-guru pendidikan seni yang bersemangat untuk mengajar kerana pelajar-pelajarnya menolak untuk belajar pendidikan seni, Ini berlaku kerana berdasarkan pengalaman mereka pelajaran pendidikan seni adalah pelajaran untuk berseronok kosong, hambar, kosong, “masa rehat” , dan tiada nilai masa depan serta tiada yang baru, belajar dari sekolah rendah hingga ketingkatan lima benda yang sama saja . (Respon pelajar terhadap soal selidik persepsi pelajar terhadap pandidikan seni, 1999 di kawasan Batang Padang)

Untuk merubah persepsi pelajar ini memerlukan pengorbanan yang besar. Guru perlu gigih dan sabar, perlu memiliki motivasi yang tinggi. Guru perlu menguasai keperluan sebenar pelajar mempelajari pelajaran ini. Tahap awal guru perlulah menanamkan keyakinan kepada pelajarnya bahawa pelajaran ini “berbaloi untuk belajar” Pelajaran perlulah memiliki unsur istimewa yang mendorong pelajar untuk terlibat sama walaupun terpaksa mengeluarkan wang, tenaga dan masa. Mereka sanggup melaluinya sekiranya pendidikan seni itu menarik, berpotensi, berbaloi untuk belajar, ada nilai keilmuannya. Untuk ini guru terpaksalah menggunakan berbagai kaedah untuk memotivasikan pelajarnya melalui berbagai strategi pengajaran dan pembelajaran. Pelajar juga perlu didedahkan kepada berbagai bidang dan jenis kerajaya yang boleh membuka mata mereka bahawa mempelajari pelajaran pendidikan seni ada potensi dalam kerjaya jikalau diberi tumpuan bersungguh-sungguh.

Memertabatkan pelajaran Pendidikan Seni Selari dengan matapelajaran yang lain: Isu untuk memertabatkan matapelajaran pendidikan seni seiring dengan mata pelajaran yang lain bukanlah suatu isu yang baru. Saya percaya guru-guru yang mencintai bidang ini sentiasa memperjuangkannya. Pada dasaranya matapelajaran pendidikan seni adalah tergolong dalam kumpulan matapelajaran asas dari sekolah randah hingga tingkatan tiga. Sama tarafnya dengan mata pelajaran sejarah, geografi, kemahiran hidup, pendidikan jasmani dan kesihatan dan sebagainya. Agihan jam interaksinya dalam seminggu pun sama iaitu tiga waktu seminggu.
Apabila seseorang pelajar sekolah menengah tamat peperikasaan SPM mereka yang mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia boleh menunjukkan keupayaannya dalam berbahasa samaada dalam bentuk tulisan ataupun lisan. Begitu juga mereka yang lulus dalam matematik mampu menyelsaikan masalah matematik berdasarkan ilmu pengetahuan yang mereka kuasai. Pelajar dari bidang vokesional dan teknikal pula mampu memperlihatkan kemahiran-kemahiran mereka, sesetengahnya menguasai kemahiran asas sebagai persediaan untuk peringkat pengajian lebih tinggi atau menceburi di bidang pekerjaan.

Persoalan dan kerisauan saya adalah mereka yang mendapat kepujian dalam pendidikan seni di peringkat SPM, apakah istimewanya mereka. Adakah mereka memiliki tahap ilmu seni setara dengan peringkat SPM seperti mata pelajaran yang lain ? Adakah mereka memiliki daya kreativiti yang tinggi, setara dengan SPM. Adakah kemahiran mereka dalam penciptaan dan penghasilan karya seni setara dengan kemahiran-kemahiran mata pelajaran lain di peringkat SPM. Adakah kita sudah merasa puas tentang tahap pendidikan seni sekarang ?
Untuk menjawab persoalan-persoalan di atas kita boleh jadikan objektif-objektif pelajaran pendidikan seni sebagai landasan ukuran.
Keduanya kita perlu menilai semula bagaimana usaha kita menyusun atur isi kandungan mata pelajaran ini secara berperingkat-peringkat mulai daripada tahun satu sekolah rendah hinggalah ke tahap SPM. Ini adalah kemahiran membuat perancangan tahunan bagi setiap tahap Peringkat STPM, PPK telah berjaya memperlihatkan suatu tahap mutu kandungan yang setara dengan kedudukannya, walaupun masih di peringkat permulaan tetapi jauh lebih bermutu berbanding dengan kandungan sukatan pelajaran lama.
Ketiga , sudah sampai masanya mata pelajaran ini memiliki buku rujukan atau sekurang-kurangnya ada buku panduan. Soalannya berbalik semula kepada isu yang di atas iaitu bergantung kepada keupayaan guru menterjemah isi kandungan ke dalam bentuk operasi dalam P&P di bilik darjah.
Keempatnya sebagai mata pelajaran sekolah , keperluan asasnya dari segi infrastruktur perlulah diberi perhatian. Sudah sampai masanya setiap sekolah memiliki sekurang-kurangnya satu bilik seni yang lengkap sama seperti pelajaran Kemahiran Hidup, Sains Rumahtangga atau matapelajaran Sains.
Kelima: Hanya guru yang layak sahaja mengajar waktu pelajaran ini. Keenamnya, mungkinkah Seni memiliki sekolah menengah khasnya seperti juga sekolah sukan ? seperti ura-ura jabatan Pendidikan Johor ?


Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni:
Apakah pendekatan yang digunakan oleh guru untuk mengajar Pendidikan Seni ? Adakah kita henya menggunakan pendekatan p&p yang steriotaip sahaja? Sebenarnya terdapat berbagai pendekatan yang bolah kita amaklan agar proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini lebih menarik. Sebagai contohnya guru bolah menggunakan:

Pendekatan Kemanusiaan dalam Pengajaran Pendidikan Seni:
Menurut Michael (1983) dan Feldman (1970) mencadangkan agar guru menggunakan pendekatan kemanusiaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Menerusi proses pembelajaran yang berlandaskan pendekatan kemanusiaan itu pelajar akan mengenali dirinya dan hubungan dengan masyarakat dan kehidupannya. Keadaan ini akan membantu proses perkembangan mereka dari peringkat paling asas iaitu mengenali diri sendiri, mengenali seni dan kelompok-kelompok masyarakat kecil di persekitaran mereka, peka tentang perasaan mereka , memiliki konsepsi diri yang jelas dan boleh menyatakan pernyataan diri mereka secara kreatif melalui media. Seterusnya mengenali nilai-nilai kemanusiaaan yang boleh digarap maklumatnya daripada karya atau pernyataan seni yang boleh dikesan pada mana-mana bentuk seni atau mana-mana karya seni.
Pendekatan Behaviorisme
Ahli behaviorisme mempercayai tingkah laku pelajar boleh dibentuk melalui pengalaman-pengalaman pendidikan yang disediakan. Perancangan Pendidikan Seni yang berkaitan dengan situasi kehidupan sebenar adalah penting untuk memastikan kejayaan yang lebih berkesan bagi mencapai objektif pembelajaran.
Aspek asas kepada pendekatan ini adalah guru-guru perlu mematuhi disiplin untuk pencapaian sesuatu matlamat yang telah ditentukan dengan mengenalpasti keutamaan, mengaplikasi kaedah-kaedah penyelidikan terhadap tugas-tugas pengajaran dari semasa ke semasa dan bersedia untuk mereka bentuk alat-alat untuk pengujian dan penilaian dalam pembelajaran dan pengajaran seni.

Masalah utama yang mungkin dihadapi oleh guru adalah untuk menentukan tingkahlaku berasaskan objektif kurikulum pendidikan seni. Apakah tingkah laku yang relevan untuk Pendidikan Seni ? Bagaimana seseorang itu boleh mencapai perubahan tingkah laku ketika belajar Pendidikan Seni ? Sampai ke tahap manakah sesuatu perubahan itu dinilai ? Matlamat dan objektif manakah yang digunakan sebagai ukuran untuk sesuatu penilaian. Bolehkah dikenalpasti apa yang boleh dipelajari, apa yang akan diajar dan tingkah laku pelajar yang macam mana yang perlu dibentuk?

Pengamatan sebagai pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni.
Merujuk kepada objektif pelajaran Pendidikan Seni sama ada untuk sekolah menengah atau rendah, salah satu tujuan pembelajaran Pendidikan Seni adalah untuk menajamkan persepsi pelajar. Semua pembelajaran Pendidikan Seni menitikberatkan kepada persepsi (pengamatan) proses mendapat pengetahuan, melayani perasaan dan pernyataan semuanya berlaku menersui deria kita. Sesetengah berpendapat pengamatan melalui deria itu adalah kunci kepada segala ilmu dan pengetahuan. Ianya adalah tingkah laku asas dalam proses seseorang melengkapkan ilmu pengetahuan melalui penerokaan alam persekitrannya.
Proses pengamatan melibatkan seseorang itu membuat penelitian, menganalisis, mengsintesis dan menilai. Ia merupakan suatu proses mengurus maklumat yang memerlukan tindakan integrasi secara kreatif. Proses ini juga memerlukan seseorang itu berfikir secara terbuka dan lebih bersifat luwes .
Dalam kurikulum Pendidikan Seni aktiivti pengamatan ini telah ditetapkan supaya dilaksanakan mulai dari awal persekolahan hinggalah ke tingkatan menengah atas, Amalannya adalah mengikut tahap keupayaan pelajar. Guru-guru perlu menguasai dan mengenalpasti tahap keupayaan pengamatan pelajarnya dan menggunakannya untuk tujuan perancnagan pengajaran dan pembelajaran.

Aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk mengembangkan keupayaan pengamatan ini perlu dikenalpasti. Aktiviti yang boleh membantu pelajar untuk memajukan pengamatan, dan meningkatkan proses kematangan deria perlu disediakan. Program-program perlu disediakan sehingga berjaya membawa perubahan secara mampan terhadap aras kepekaan pengamatan pelajar.

Pendekatan Perkembangan Menyeluruh
Pendidikan seni adalah merupakan bidang ilmu yang menjelaskan konsep pendidikan menyeluruh, yang memenuhi tuntutan domain kognitif, afektif dan psikomotor. Ini sejajar dengan Falsafah PendidikanNegara. Kneeth M. Lancing (1971), pada dasarnya manyatakan bahawa pendidikan seni perlu memfokuskan perhatian kepada tiga domain utama tersebut. Antara kandungan yang ada di dalam ketiga-tiga domain tersebut adalah;

Domain Kognitif : iaitu ilmu yang berkaitan dengan gubahan, prosedur, sejarah dan apresiasi, estetika serta seni dalam kehidupan.
Domain Afektif : iaitu suatu aspek yang berkaitan dengan nilai, sikap, minat, keperihatinan, mempunyai pertimbangan, menghargai warisan dan mempunyai sahsiah yang baik.
Domain Psikomotor: iaitu menumpukan kepada pertumbuhan kemahiran dalam pergerakan atau gerak balas yang boleh terbentuk melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan kualiti koordinasi antara mata , tangan, otot dan mental.

Seterusnya pelajar yang berbakat akan menjadi penggiat seni dan yang kurang berbakat atau berkemahiran akan menjadi penggemar atau pengkritik seni yang mahir serta berilmu pengetahuan hasil dari proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan seni.

Kesimpulannya:
Banyak isu-isu lain yang tidak diutarakan di sini umpamanya isu yang berkait dengan pendidikan merangkupi era ICT dan seumpamanya. Walaubagaimanapun tahniah diucapkan kepada Kementerian Pendidikan di bawah urusetia Pusat Perkembangan Kurikulum dan unit-unit lain yang telah berusaha untuk meletakkan matapelajaran pendidikan seni ini ke tahap yang sewajarnya. Usaha untuk mengemaskini kualiti sukatan pelajaran dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat SPM dan STPM telah dan sedang dilakukan. Usaha ini dilakukan dengan melibatkan wakil-wakil dari semua peringkat sistem pendidikan Negara kita. Pernyataan falsafah, matlamat dan objektifnya telah jelas. Isi kandung pelajaran dan ruang lingkupnya telah dinyatakan selaras dengan tahap sukatan pelajaran. Dengan harapan agar mata pelajaran pendidikan seni dapat memenuhi harsat wawasan dan falsafah pendidkan kebangsaan, dalam usaha untuk memberi persediaan kepada generasi muda dengan ilmu, nilai dan kemahiran kepada generasi muda dengan personality sebagai rakyat Malaysia yang cemerlang untuk generasi akan dating. Ini adalah harapannya. Realitinya diminta kita sama-sama membuat renungan. Sejauh manakah kita telah melaksanakan peranan kita untuk merealisasikan harapan itu. Sejauhmanakan kita telah meletakkan kualiti pengajaran kita dengan menguasai dan mengamalkan beberapa pendekatan sesuai untuk sesuatu matlamat pengajaran, supaya pelajaran pendidikan seni itu benar-benar berkualiti, menarik dan bermakna dari perspektif pelajar Daripada isu-isu yang telah diketengahkan di atas, mungkin kita perlu mengambil langkah untuk memperbaiki bersama-sama dengan memberi pandangan dan idea dalam seminar atau perbincangan yang amat perlu diadakan dengan lebih kerap lagi, mungkin melalui kelompok perbincangan yang lebih kecil . Semuga dengan itu dapat memartabatkan pelajaran pendidikan seni ini ke tempat yang sewajarnya.
Sekian.



Rujukan:
Abelson, R.P. & Rosenberg, M.J. (1958). Symbolic Psychology A Model of Attitudinal
Cognition. Behavior Science.
Al Hurwitz , Day, Michael (1996). Children and Their Art, (Sixth Ed.) New York: Havcourt Brace College Pub
Arnhem. R. (1974) Art and Visual perception. L.A. University of California Press.
Chapman, Laura H. (1978). Approaches to Art in Education. New York: Havcourt Brace Jovanovich Inc.
Day. D. Micheal (1998 ). Art Education: Essential for a balanced education , Arts Education Bulletin, April 1998

Day. D. Micheal , E-mail: mday@burgoyne.com

Degge, M. Rogena, E-mail : redgge@aaa.uoregon.edu

Dewey, John (1934). Art As Experience. New York: Minton Balco and Company.
Eisner,E.W. (1972)Educating artistic vision. NY. Macmillan
Efland,Arthur (1977). Planning Art Education. Middle/Secondary School Of Ohio: State of Ohio Dept. of Education.
Feldman, Edmund 1997, Art Its Image and Idea. New York. Prentice Hall.

_______________ 1997, Beaming Human Throung Art. New York.Prentice Hall.
Hassan Langgulung (1991). Kreativiti dan Pendidikan, Suatu Kajian Psikologi dan
Falsafah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Langsing, Kennet M. (1971). Art, Artists and Art Education. New York: Mc Grraw-Hill Book Company.
Laniear, Vincent (1975). Objektives of Art Education. The Impact of Trans: Peabody
Jurnal of Education.
Lowenfeld, Victor and Brittain W. Lambert (1970). Creative and Mental Growth. 5 th.
ed. New York: Macmillan Company.
Mc Fee, June King (1972). Preparation For Art. San Francisco: Wadswath Publishing
Company, Incorperation.
Raja Zalabuddin Raja Yaakub (1985). Bukankah Seni Untuk Masyarakat. Dewan
Budaya. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Siti Zainon Ismail (1989). Percikan Seni. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Edmund Burke Feldman(1996). Philosophy of Art Education. Prentice Hall, New Jersey

Clark G., Day, M. and Greer, D. (1987) ‘ Discipline-based art education : becoming students of art’. The Journal of Aesthetic Education, (21)2


htpp://www., artsdnet@getty.edu© 1999 J. Paul Getty Trust.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home